Kategori: HADIS

  • Berbuat baik kepada sahabat ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki daripada golongan Arab pedalaman bertemu dengannya di suatu jalanan Makkah, lalu Abdullah bin Umar mengucapkan salam kepadanya dan membawanya naik ke atas keldai yang dikenderainya serta memberinya serban yang melilit di kepalanya.

    Ibnu Dinar berkata: Maka, kami berkata kepadanya, semoga Allah memberikan kebaikan kepadamu. Sungguh, dia adalah orang Arab pedalaman dan mereka itu reda dengan hal-hal yang remeh.

    Maka, Abdullah bin Umar berkata: Sesungguhnya bapa orang ini adalah kecintaan Umar bin al-Khattab RA, dan sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik kebaikan ialah seorang lelaki menyambung hubungan kepada orang dikasihi bapanya.

    Dalam riwayat lain daripada Ibnu Dinar, daripada Ibnu Umar RA, bahawa suatu ketika dia keluar ke Makkah. Dia mempunyai seekor keldai yang dia mengistirahatkan diri ke atasnya, jika sudah bosan, dia menaikinya. Dia juga mempunyai serban yang diikatkan pada kepalanya. Pada suatu hari, ketika dia menaiki keldainya itu, tiba-tiba seorang Arab pedalaman melewatinya, kemudian dia bertanya: Bukankah kamu fulan bin fulan?

    Dia menjawab: Ya.

    Maka, dia (Ibnu Umar) memberinya keldai.

    Maka, dia berkata: Naiklah ini (keldai).

    Dan dia juga memberinya serban dan berkata: Ikatlah dengannya pada kepalamu.

    Maka, sesetengah sahabatnya (Abdullah bin Umar) berkata: Semoga Allah mengampunkan kamu. Kamu telah memberi kepada orang Arab pedalaman ini seekor keldai yang kamu gunakan untuk istirahat, dan kamu juga beri serban yang kamu ikatkan di kepalamu?

    Maka, dia (Abdullah) berkata: Sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya daripada sebaik-baik kebaikan ialah seorang lelaki menyambung hubungan dengan orang dikasihi bapanya, setelah bapanya meninggal dunia. Dan sesungguhnya bapanya (orang Arab pedalaman itu) adalah sahabat Umar RA. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk memuliakan sahabat kepada bapa. Dibuat qiyas hal ini ialah sahabat kepada ibu dan seluruh kerabat.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 268

  • Termasuk dosa besar mencela ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Termasuk antara dosa-dosa besar ialah jika seseorang itu memaki-maki kedua-dua orang tuanya sendiri.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah ada seseorang memaki-maki kedua-dua ibu bapanya sendiri?

    Baginda bersabda: Ya, apabila seseorang memaki-maki bapa seseorang, lalu orang yang bapanya dimaki-maki itu memaki-maki bapa orang terbabit, atau seseorang itu memaki-maki ibu orang lain, lantas orang yang ibunya dimaki-maki itu memaki-maki ibu orang terbabit. (Muttafaq alaih – ada dalam sahih al-Bukhari, Muslim & Ahmad)

    Dalam riwayat lain disebutkan: Sesungguhnya termasuk dosa besar yang terbesar ialah apabila seseorang melaknat kedua-dua ibu bapanya sendiri.

    Lantas ditanyakan: Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu melaknat kedua-dua ibu bapanya sendiri?

    Baginda bersabda: Apabila seseorang memaki-maki bapa seseorang, lantas orang yang bapanya dimaki-maki itu memaki-maki bapa orang terbabit, atau seseorang itu memaki-maki ibu orang lain, lantas orang yang ibunya dimaki-maki itu memaki-maki ibu orang terbabit.

    HURAIAN

    Ungkapan “adakah seseorang memaki-maki kedua-dua ibu bapanya sendiri?” adalah pertanyaan yang menganggap kemungkinan terjadinya sangat jauh dilakukan oleh orang yang beragama dan mempunyai akal. Oleh kerana itu Rasulullah SAW menyampaikan bahawa hal itu terjadi dengan cara melakukan penyebab orang lain memaki kedua-dua ibu bapanya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266. (Dalam teks Riyadus Solihin & Penjelasannya, menggunakan perkataan “orang tua” tetapi dalam teks ini menggantikannya dengan “ibu bapa” bagi mengelakkan kekeliruan terutama apabila diterjemah ke bahasa lain)

  • Empat dosa besar

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Dosa besar; syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua-dua ibu bapa, membunuh jiwa (seseorang) dan bersumpah palsu. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    “Al-yamin al-ghamus” dalam teks hadis diterjemahkan sebagai sesuatu yang disumpahkan oleh seseorang secara dusta dan disengajakan. Dinamakan “ghamus” kerana sumpah itu mencelupkan orang yang bersumpah itu ke dalam dosa.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 265

  • Dosa besar yang paling besar

    Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin al-Harits RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ingatlah, saya memberitahu kamu mengenai dosa besar yang paling besar.

    Baginda bersabda ini sampai tiga kali.

    Kami menjawab: Ya, wahai Rasulullah.

    Baginda bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

    Semula baginda bersandar, lalu baginda duduk, kemudian bersabda lagi: Ingatlah, termasuk juga ucapan bohong dan persaksian palsu.

    Baginda terus-menerus mengulang-ulanginya, sehingga kami mengucapkan: Alangkah baiknya jika baginda berhenti mengucapkannya. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Antara yang boleh difahami mengenai dosa; ada dosa besar yang lebih besar seperti disebutkan. Dosa besar adalah dosa yang pelakunya diancam dengan murka, laknat atau neraka.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 264/265

  • Mentaati perintah bapa yang lebih mengetahui

    Daripada Ibnu Umar RA, dia berkata: Saya mempunyai seorang isteri dan saya mencintainya, sedangkan Umar membencinya, lantas dia (Umar) berkata kepadaku: “Ceraikanlah isterimu itu.” Namun saya enggan melakukannya.

    Maka Umar RA mendatangi Nabi SAW, kemudian dia menyebutkan hal itu kepadanya (Nabi). Maka Nabi SAW bersabda: Ceraikannya (perempuan itu). (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Imam at-Tirmidzi, dan at-Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih)

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat pesanan untuk melaksanakan perintah bapa ketika memerintahkan anaknya untuk menceraikan isterinya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 262

  • Amalan untuk masuk syurga, jauh dari neraka

    Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.

    Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kamu beribadat kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung rahim (hubungan kekeluargaan). (Muttafaq alaih – disebutkan dalam Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 261

  • Sedekah dan hubungan keluarga

    Daripada Salman bin Amir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Jika seseorang daripada kamu berbuka (puasa), maka hendaklah dia berbuka dengan kurma, kerana sesungguhnya ia ada berkat. Sekiranya dia tidak mendapati kurma, maka (berbuka dengan) air, kerana sesungguhnya ia suci.

    Dan baginda bersabda: Sedekah ke atas orang miskin adalah suatu sedekah. Dan (bersedekah) ke atas orang mempunyai rahim (hubungan kekeluargaan) ada dua hal, (iaitu) sedekah dan hubungan (kekeluargaan). (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan; ada dalam Sahih Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibn Majah)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 262

  • Pesanan agar berbuat baik kepada penduduk

    Daripada Abu Dzar berkata: Rasulullah SAW bersabda: Kamu semua akan membebaskan suatu tanah yang disebut di dalamnya qiirath.

    Dalam suatu riwayat lain disebutkan: Kamu semua akan membebaskan Mesir iaitu tanah yang disebut di dalamnya nama qiirath, maka berwasiatlah kepada penduduk daerah itu dengan baik, sebab sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan serta hubungan kekeluargaan.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Jika kamu telah membebaskannya, maka berbuat baiklah kepada penduduknya, kerana sesungguhnya mereka itu mempunyai tanggungan dan hubungan kekeluargaan.” Atau baginda bersabda: “Mereka mempunyai tanggungan dan saudara ipar.” (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ulama berkata “rahim” yang dimiliki oleh penduduk Mesir ialah kerana Hajar, ibunda Nabi Ismail adalah daripada bangsa mereka, sedangkan “shihr” (huruf ejaan: sod – ho – ro) atau ipar ialah kerana Mariah ibunda Ibrahim, putra Rasulullah SAW juga daripada bangsa Mesir itu.

    Hadis ini mengandungi beberapa faedah — tanda kenabian, kerana sahabat dapat membebaskan Mesir setelah Nabi SAW wafat. Wasiat untuk menjaga tanggungan dan menyambung hubungan keluarga.

    Al-Qiirath (huruf ejaan: Qaf – ya – ro – alif – tho)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 260

  • Boleh sambung hubungan keluarga dengan kerabat musyrik

    Daripada Asma binti Abu Bakar as-Siddiq berkata: Ibuku datang ke tempatku sedang dia adalah seorang musyrik pada masa Rasulullah SAW. Kemudian, saya meminta fatwa kepada Rasulullah. Saya berkata: Ibuku datang padaku dan dia ingin meminta sesuatu, apakah boleh saya menyambung kekeluargaan dengan ibuku? Baginda menjawab: Ya, sambunglah kekeluargaan dengan ibumu. (Muttafaq alaih – ada dalam Sahih al-Bukhari, Muslim & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Ada yang mengatakan bahawa yang datang itu ibu kandungnya sendiri, tetapi ada pula yang mengatakan bahawa itu adalah ibu dari susuan. Pendapat yang sahih ialah pendapat yang pertama.

    Hadis ini menunjukkan boleh menyambung ikatan keluarga dengan kerabat yang musyrik. Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: Dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik.” (Luqman, 15)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 258

  • Keutamaan menyambung hubungan keluarga

    Daripada Aisyah RAnha, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Rahim (kekeluargaan) tergantung di Arasy sambil berkata “sesiapa yang menyambungku, maka Allah menyambungnya dan sesiapa memutuskanku, maka Allah memutuskannya”. (Muttafaq alaih – ada dalam Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 257

  • Siapa orang yang menyambung hubungan keluarga?

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan bukanlah orang yang bersikap mengimbangi, tetapi orang yang menyambung hubungan kekeluargaan ialah orang yang apabila keluarganya memutuskan hubungan kekeluargaan dengannya, lalu dia menyambungnya kembali. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari – ada dalam Sahih al-Bukhari & Abu Dawud)

    HURAIAN

    Manusia ada tiga macam.

    1. Orang yang menyambung hubungan keluarga.
    2. Orang yang mengimbangi hubungan keluarga.
    3. Orang yang memutuskan hubungan keluarga.

    Orang yang menyambung hubungan keluarga ialah orang yang memulai menyambung hubungan kekeluargaan. Orang yang mengimbangi ialah orang yang membalas sikap serupa terhadap keluarganya. Sedangkan orang yang memutuskan hubungan keluarga ialah orang yang tidak memulai dan tidak mengimbangi hubungan keluarga. Justeru, yang sempurna ialah orang yang menyambung ikatan keluarga terhadap orang yang memutuskannya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256/257

  • Berbuat baik kepada ibu bapa

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA berkata: Seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Saya berbaiah kepada anda untuk ikut berhijrah serta berjihad yang saya niatkan untuk mencari pahala daripada Allah Taala.

    Baginda berkata: Apakah salah seorang daripada kedua-dua orang tuamu masih ada yang hidup?

    Dia menjawab: Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup.

    Baginda bersabda: Apakah maksudmu hendak mencari pahala daripada Allah Taala?

    Dia menjawab: Ya.

    Baginda bersabda: Maka, kembalilah ke tempat kedua-dua orang tuamu, lalu berbuat baiklah dalam mendampingi kedua-duanya. (Muttafaq alaih, sahih al-Bukhari & Muslim – redaksi hadis milik Imam Muslim)

    Dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim lainnya disebutkan: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu dia meminta izin kepada baginda untuk ikut berjihad, lantas Nabi SAW bertanya: Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Maka, berjihadlah pada kedua-duanya.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256

You cannot copy content of this page