Kategori: HADIS

  • Ziarah, cintai saudara kerana Allah dan Allah mencintaimu

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa ada seorang lelaki mengunjungi saudaranya di satu kampung lain, kemudian Allah Taala memerintahkan malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan.

    Ketika orang terbabit melalui jalan itu, malaikat berkata kepadanya: Kamu hendak ke mana?

    Dia menjawab: Saya hendak ke tempat saudara saya di kampung ini.

    Malaikat bertanya lagi: Apakah ada suatu kenikmatan yang hendak kamu peroleh daripada saudaramu itu?

    Dia menjawab: Tidak, hanya saya mencintainya (atau mengasihinya) kerana Allah Taala.

    Lalu, malaikat berkata: Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menemuimu, bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Antara pelajaran yang dapat diperhatikan dalam hadis ini ialah berkunjung kerana Allah dan mencintai/mengasihi saudara atau saudari (bagi perempuan) kerana Allah. Ganjarannya, Allah mencintai pula orang terbabit.

    Malahan dalam setiap perkara/urusan, kita dituntut melakukannya kerana Allah.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 280

  • Tangis Abu Bakar, Umar dan Ummu Aiman

    Daripada Anas RA berkata: Abu Bakar berkata kepada Umar selepas kewafatan Rasulullah SAW, marilah kita berangkat bersama ke tempat Ummu Aiman RAnha, berziarah kepadanya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah menziarahinya.

    Manakala kedua-duanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu kedua-duanya bertanya: Apakah yang membuatmu menangis? Tidakkah kamu mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik untuk Rasulullah SAW?

    Maka, Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya saya bukanlah menangis, bukanlah kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah Taala lebih baik untuk Rasulullah SAW, tetapi saya menangis kerana bahawa wahyu telah terputus dari langit. Pernyataan Ummu Aiman ini menggerakkan hati Abu Bakar dan Umar untuk menangis, lalu kedua-duanya pun menangis bersama Ummu Aiman. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ummu Aiman ialah hamba Rasulullah SAW yang dinikahi oleh Zaid bin Haritsah. Nama asalnya ialah Barakah. Dia adalah ibu kepada Usamah bin Zaid. Rasulullah menghormatinya. Di sisi Ummu Aiman, baginda bagaikan puteranya sendiri.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 279/280

  • Syurga bagi orang mengunjungi orang sakit, saudara kerana Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya fillah (pada jalan Allah, atau kerana Allah), maka berseru penyeru: Kamu telah melakukan kebaikan dan baik pula perjalananmu, serta kamu dapat menduduki tempat di syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan. Dan dalam sebahagian kitab disebutkan hadis ini gharib)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi ganjaran Allah terhadap orang yang mengunjungi saudaranya kerana Allah.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281

  • Muliakan orang lebih tua, anda dimuliakan

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang pemuda memuliakan orang yang tua kerana usianya, melainkan Allah mentadkirkan untuknya orang yang akan memuliakannya kelak ketika dia berusia tua. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia berkata hadis ini gharib / Didaifkan oleh syaikh Al-Albani dalam kitab Dhaif al-Jami’m 5012)

    Rujukan: Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Jaga adab apabila di sisi orang lebih tua

    Daripada Abu Said Samurah Samurah bin Jundub RA berkata: Bahawa saya dahulu pada masa Rasulullah SAW masih kanak-kanak, maka saya menghafaz daripadanya. Maka, tidaklah baginda melarang saya daripada berbicara, melainkan jika di situ ada orang yang lebih tua usianya daripada usia saya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi pelajaran agar menjaga adab atau menghormati orang lebih tua daripada kita. Kanak-kanak misalnya menjaga sikap terutama tutur kata apabila ada orang lebih tua.

    Rujukan: Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 278

  • Anjuran mengasihi kanak-kanak, memuliakan orang tua

    Daripada Amru bin Syu’aib meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya, berkata: Rasulullah SAW bersabda: Bukan daripada kita (bagi) sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak antara kita, dan tidak mengerti kemuliaan orang tua antara kita. (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi – dan kata Tirmidzi hadis hasan sahih)

    Dalam riwayat Abu Dawud disebutkan: Hak orang yang tua daripada kita.

    HURAIAN

    Hadis ini mengingatkan kita agar mengasihi kanak-kanak dan memuliakan orang-orang tua.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 276/277

  • Tiga orang harus dimuliakan

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda; sesungguhnya antara cara mengagungkan Allah Taala ialah dengan cara memuliakan seorang muslim yang sudah beruban serta orang yang hafal al-Quran yang tidak melampaui batas dalam membacanya dan tidak pula meninggalkan membaca. Demikian juga memuliakan seorang penguasa yang adil. (Hadis diriwayatkan Abu Dawud, hadis ini [status] hasan / disahihkan oleh syaikh Al-Albani dalam dalam kitab Sahih al-Jami’, 2199)

    HURAIAN

    Hadis ini menekankan agar memuliakan orang yang diredai Allah iaitu tiga orang di atas. Dan Allah akan memberikan pahala kepada orang memuliakan mereka.

    Rujukan – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 276

  • Berpegang teguh pada Kitabullah dan muliakan ahli bait Rasulullah

    Daripada Yazid bin Hayyan berkata, saya berangkat bersama Husain bin Sabrah dan Amru bin Muslim ke (tempat) Zaid bin Arqam. Maka, ketika kami duduk-duduk dekatnya, berkatalah Husain kepadanya: Wahai Zaid, kamu telah mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kamu telah melihat Rasulullah SAW, kamu mendengar hadisnya, kamu berperang bersamanya dan kamu bersolat di belakangnya. Sesungguhnya kamu wahai Zaid mendapat kebaikan yang banyak sekali. Ceritakanlah kepada kami wahai Zaid apa yang telah kamu dengar daripada Rasulullah SAW.

    Dia (Zaid) berkata: Wahai anak saudaraku, demi Allah sesungguhnya usiaku telah tua dan masa kematianku hampir tiba, dan saya telah lupa sebahagian daripada apa yang saya telah ingat daripada Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, apa yang saya sampaikan kepada kamu, maka terimalah itu dan apa yang tidak saya sampaikan, hendaklah kamu jangan memaksaku untuk menerangkannya.

    Kemudian dia berkata: Rasulullah pernah berdiri berkhutbah di suatu tempat berair yang disebut Khumm, terletak antara Makkah dan Madinah, maka baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya, dan menasihati dan memberi peringatan, kemudian baginda bersabda:

    Amma ba’du, ingatlah wahai sekalian manusia, hampir saja saya didatangi oleh utusan Rabbku (malaikat maut), maka saya harus mengabulkannya. Saya meninggalkan untuk kamu dua perkara berat; pertamanya Kitabullah yang padanya terdapat al-huda (petunjuk) dan an-nur (cahaya). Maka, ambillah Kitabullah itu, dan berpegang teguh dengannya.

    Maka, Rasulullah SAW memotivasi (untuk berpegang teguh) ke atas Kitabullah dan mencintainya.

    Kemudian, baginda bersabda: Dan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku. Saya memperingatkan kamu semua (untuk bertakwa) kepada Allah dalam memuliakan ahli baitku.

    Maka, Husain berkata kepada Zaid: Dan siapakah ahli bait baginda itu, wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri baginda termasuk ahli baitnya?

    Zaid menjawab: Isteri-isteri baginda termasuk ahli bait baginda. Akan tetapi ahli bait baginda ialah orang yang diharamkan menerima sedekah setelah baginda.

    Husain berkata lagi: Dan siapakah mereka?

    Zaid menjawab: Mereka adalah keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Ja’far dan keluarga Abbas.

    Husain berkata lagi: Semua orang dari golongan mereka ini diharamkan menerima sedekah?

    Zaid berkata: Ya, benar. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam satu riwayat, disebut: Ingatlah dan sesungguhnya saya meninggalkan kepada kamu semua dua perkara berat; pertamanya ialah Kitabullah, dan ia adalah hablullah (tali, penghubung dengan Allah). Sesiapa mengikutinya, dia memperoleh petunjuk, manakala sesiapa meninggalkannya, dia berada dalam kesesatan.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi peringatan agar berpegang kepada Al-Quran dan memuliakan ahli bait Rasulullah SAW.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 271/272

  • Memberi layanan baik kepada orang melayani Nabi

    Daripada Anas bin Malik RA berkata: Saya pernah keluar bersama Jarir bin Abdullah Al-Bajaliy RA dalam suatu perjalanan. Maka, dia memberi khidmat (melayani) kepada saya.

    Maka, saya berkata kepadanya: Jangan lakukan (demikian).

    Maka, dia berkata: Sesungguhnya saya telah melihat (orang) Ansar melakukan sesuatu terhadap Rasulullah SAW. Saya bersumpah tidak akan berteman dengan seorang pun daripada mereka (orang Ansar) melainkan saya memberikan khidmat kepadanya (melayaninya). (Muttafaq alaih – Al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Usia Jarir lebih tua daripada Anas. Jarir adalah seorang pemimpin golongan Bajilah. Dia memberi khidmat atau melayani Anas dalam rangka memuliakan Nabi SAW dan berbuat baik kepada orang yang berkhidmat kepada Nabi.

    Hadis ini juga menunjukkan memuliakan orang berbuat baik meskipun usianya lebih muda. Dan ini juga menunjukkan sikap rendah diri (rendah hati) Jarir dan keutamaannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 270

  • 5 perbuatan baik kepada ibu bapa setelah peninggalan mereka

    Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah as-Sa’idi RA berkata: Kami sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki daripada Bani Salamah.

    Maka, lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah, apakah masih ada suatu perbuatan yang dapat saya lakukan sebagai bentuk bakti saya kepada kedua-dua ibu bapa saya setelah kedua-duanya meninggal dunia?

    Maka, baginda berkata: Ya, masih ada, iaitu mendoakan keselamatan untuk kedua-duanya, memohonkan keampunan kepada kedua-duanya, melaksanakan janji kedua-duanya setelah wafatnya, silaturahim (menyambung rahim atau hubungan kekeluargaan) yang tidak dapat disambungkan melainkan dengan adanya kedua-duanya serta memuliakan kawan kedua-duanya, (Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud – didaifkan oleh Al-Albani dalam kitab Dhaif Abu Dawud, 1101)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 268/269.

  • Perkara diharamkan dan dibenci

    Daripada Abu Isa al-Mughirah bin Syu’bah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada para ibu, mencegah melaksanakan hal-hal yang diwajibkan atas dirinya, meminta yang bukan miliknya, atau menguburkan anak perempuan hidup-hidup. Allah membenci ucapan “qiila wa qaala” (mengucapkan hal yang belum jelas kebenarannya), banyak bertanya dan mensia-siakan harta. (Muttafaq alaih – sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266

  • Tidak masuk syurga orang memutuskan

    Daripada Abu Muhammad Jubair bin Muth’im RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang yang memutuskan.

    Sufyan berkata dalam riwayatnya: Yakni memutuskan rahim (hubungan kekeluargaan). (Muttafaq alaih – ada dalam sahih al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Ancaman berat bagi orang memutuskan hubungan keluarga.

    Besarnya dosa orang yang memutuskan hubungan keluarga.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 266

You cannot copy content of this page