Kategori: MASJID

  • Masjid Bogbonli di Khiva dipulihkan dengan sokongan kewangan daripada EU

    Kesatuan Eropah (EU), UNESCO dan kerajaan Uzbekistan membuka Masjid Bogbonli bersejarah yang telah dipulihkan di Khiva.

    Inisiatif ini adalah sebahagian daripada projek Koridor Warisan Jalan Sutera di Afghanistan, Asia Tengah dan Iran – Dimensi Antarabangsa Tahun Warisan Budaya Eropah yang dibiayai oleh EU, dilaksanakan oleh UNESCO.

    Projek ini bertujuan untuk mengukuhkan dan menstabilkan struktur masjid, mengekalkan unsur kayu sedia ada, dengan sokongan rakan kongsi tempatan dan pakar antarabangsa.

    Masjid Bogbonli, yang terletak di Harta Warisan Dunia Ichan Kala, Khiva, dibina pada abad ke-19.

    Masjid ini juga mempunyai aivan abad ke-14 dengan dua tiang kayu dan siling dicat serta inskripsi bangunan yang rumit, mempamerkan ketukangan luar biasa tukang-tukang tempatan.

    “EU kekal komited untuk memelihara warisan budaya sebagai bahagian penting warisan dan identiti bersama kami, sambil menggalakkan amalan pelancongan yang bertanggungjawab dan mampan.

    “Di Uzbekistan, kami berharap dapat bekerjasama dengan komuniti tempatan dan pihak berkuasa untuk melindungi warisan budaya mereka yang kaya untuk generasi akan datang,” kata H.E. Charlotte Adriaen, Duta EU ke Uzbekistan.

    “UNESCO berdedikasi untuk menjaga warisan budaya Khiva, suatu yang mengagumkan mengenai kekayaan sejarah dan kepelbagaian budaya Uzbekistan.

    “Pemeliharaan tapak sedemikian menghadapi cabaran, tetapi kami yakin dengan perkongsian dan pelaburan yang betul, ia juga boleh memberikan peluang cerah kepada masyarakat tempatan, mencipta pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara, lebih jauh lagi, ” kata Sara Noshadi, wakil UNESCO di Uzbekistan.

    Sumber UZDAILY
  • Masjid Raya Sheikh Zayed di Solo

    Pembukaan awam Masjid Raya Sheikh Zayed di Indonesia akan berlangsung sebelum Ramadan tahun ini, kata seorang pegawai kementerian agama pada Isnin, memandangkan kerajaan menaruh harapan kepada masjid baharu itu untuk menarik pelancong dan menjadi pusat Islam sederhana.

    Masjid di Solo, Jawa Tengah, adalah replika yang lebih kecil daripada mercu tanda popular di Abu Dhabi yang dinamakan sempena Sheikh Zayed bin Sultan Al-Nahyan.

    Akmal Salim Ruhana, yang mengetuai sub-direktorat hal ehwal masjid di Kementerian Hal Ehwal Ugama, berkata masjid itu kini di peringkat akhir pembinaannya sebelum pembukaan awam.

    “Kami perlu buka sebelum Ramadan, kerana kami telah menyediakan banyak program untuk bulan yang mulia,” kata Akmal kepada Arab News.

    Masjid itu melambangkan persahabatan rapat antara Indonesia dan UAE dan akan diuruskan oleh pegawai dari kedua-dua negara, tambah Ruhana, dengan kedua-dua kerajaan merancang untuk membangunkan pusat Islam di bandar yang sama tidak lama lagi.

    Sumber AN
  • Pemandangan dari atas masjid tertinggi di Asia Tengah

    Kredit foto: Tangkap skrin video

    Pemandangan musim sejuk Masjid Besar di ibu kota Kazakhstan itu dirakam dalam video dan diterbitkan di saluran El.Info Telegram pada 18 Januari lalu.

    Masjid tertinggi di Asia Tengah dan salah satu daripada sepuluh masjid terbesar di dunia dengan keluasan 68,062 meter persegi boleh memuatkan sehingga 235,000 orang.

    Dibina dalam tiga tahun dan dibuka pada 2022, ia mempunyai empat menara dengan ketinggian 130 meter dan kubah utama dengan ketinggian 83.2 meter.

    230123 | SUMBER ASTANA TIMES

  • Masjid Kampung Laut

    Masjid Kampung Laut ialah sebuah masjid bersejarah terletak di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan. Sebelum ini ia dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu tetapi kini ditempatkan semula di Kampung Laut.

    Sejarah

    Menurut hikayat turun-temurun di Kampung Laut, pada suatu masa, sekumpulan pendakwah Islam yang sedang belayar telah terdampar di perairan Kuala Kelantan setelah kapal mereka bocor dilanda badai.

    Pelayar terbabit dikatakan bernazar sekiranya terselamat, mereka akan membina sebuah masjid di tapak mereka berlabuh.

    Dengan kuasa Allah sekumpulan ikan alu-alu telah menutupi bahagian yang bocor sehingga menghalang air laut daripada memenuhi kapal.

    Kumpulan pelayar itu akhirnya selamat berlabuh di tebing sungai Kampung Laut.

    Sejarah awal

    Berdasarkan hikayat dahulu kala, bentuk awal Masjid Kampung Laut menyerupai binaan pondok wakaf.

    1763 – 1798

    Masjid Kampung Laut dikatakan dibina setinggi 8 kaki, cukup untuk menambat gajah di bawahnya.

    Pada masa ini struktur masjid berbumbungkan atap rumbia.

    1886-1889

    Atap rumbia yang lama digantikan dengan atap genting Singgora diperbuat daripada tanah liat berasal dari Pattani.

    1890 – 1900

    Penambahan struktur seperti menara masjid dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Mansor.

    1960 – 1979

    Banjir besar yang melanda Kelantan pada 1966 – 1967 menghakis tapak masjid di tebing Sungai Kelantan dan mengakibatkan sebahagian struktur masjid runtuh.

    Komponen asal Masjid Kampung Laut

    Empat komponen asal Masjid Kampung Laut iaitu beduk, mimbar, buah buton dan kolah dikembalikan semula ke masjid ini.

    Pemasangan Tiang Seri Pertama

    Pembinaan semula Masjid Kampung Laut dimulakan dengan mendirikan tiang seri berempat atau Soko Guru. Soko Guru ini menyokong keseluruhan struktur utama masjid dan penggunaannya berasal daripada senibina Jawa.

    Salah satu daripada empat tiang ini dipercayai merupakan tiang asal sewaktu Masjid Kampung Laut mula dibangunkan.

    Tiang seri yang asal ini telah ditandakan sebagai tiang 5E di tapak pembinaan.

  • Masjid Şehitlik

    Foto sehitlik-moschee.de

    Masjid Şehitlik yang tersergam dengan senibina indah ini terletak di Berlin, Jerman.

    Masjid ini dibina dengan model berasaskan seni bina Utsmaniyah dari abad ke-16 dan ke-17.

    Batu asas bagi pembinaannya bermula pada 1999 namun pembinaannya siap pada 2005.

    Ia direka oleh Hilmi Şenalp (Muharrem Hilmi Şenalp, lahir 1957 di Konya, Turki). Beliau seorang arkitek Turki dengan karyanya sering diilhamkan oleh seni bina Uthmaniyyah.

    Masjid ini dilaporkan mempunyai dua menara setinggi 37.1 meter dan kubah utama setinggi 21.3 meter.

    Sumber teks - Wikipedia
  • Masjid al-Dahab

    Masjid Al-Dahab atau popular disebut sebagai Masjid Keemasan Manila terletak di bahagian majoriti Muslim di daerah Quiapo, Manila, Filipina dan dianggap sebagai masjid terbesar di Metro Manila.

    Nama Masjid Keemasan kerana kubahnya berwarna keemasan dengan lokasinya di Globo de Oro Street.

    Ia dibina pada 4 Ogos 1976, dengan pembiayaan melalui derma asing terutama dari Libya dan Arab Saudi.

    Dengan kapasiti 22,000 jemaah, masjid ini menjadi tumpuan komuniti Muslim di Manila dan penuh sewaktu solat Jumaat.

    Sumber: Wikipedia

  • Masjid Muhammadi

    Masjid Besar Kota Bharu (atau lebih dikenali sebagai Masjid Muhammadi) dibangunkan pada 1867.

    Bagaimanapun tiada sumber sahih menyatakan tarikh sebenar masjid ini mula dibina, tetapi dipercayai wujud sejak masa Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan pada 1837 hingga Oktober 1886.

    Malah ada juga pendapat mengatakan masjid ini dibina lebih awal lagi, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad I antara 1801 hingga 1837.

    Asalnya ialah sebuah masjid kayu yang terletak di pinggir Sungai Budor, Seberang Paloh, sebelum dipindahkan dari tapak asalnya kerana banjir.

    Pada 1921, sebuah bangunan baru (bangunan induk) mula dibina bagi menggantikan bangunan sedia ada daripada kayu.

    Luas dewan solat (masjid baru ini) ialah 116 x 62 kaki tidak termasuk ruang serambi kiri dan kanan yang masing-masing berukuran 20 kaki lebar.

    Manakala luas keseluruhan bangunan masjid ialah 10,600 kaki persegi serta mempunyai empat buah menara yang setiap satunya setinggi 70 kaki.

    Sebuah daripada menara ini berhias empat buah jam besar yang dapat dilihat dari keempat-empat penjuru masjid ini.

    Masjid ini mula dibuka dengan rasminya pada hari Jumaat 31 Julai 1931.

    Pada hari itu masjid besar ini dimasyhurkan dengan nama baru iaitu Masjid Muhammadi, mengambil sempena nama Sultan Muhammad IV.

    Sumber: Portal Rasmi Maik

  • Masjid al-Khair

    Masjid al-Khair, Singapura mula diasaskan pada awal 1960-an.

    Pada asalnya dinamakan sebagai Masjid Jamek, kemudian pada 1963 dinamakan semula sebagai Masjid al-Khair.

    Masjid ini kemudian dibina semula melalui fasa ketiga Tabung Pembinaan Masjid diuruskan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan beroperasi pada 1997. Namun pembukaan rasminya pada 31 Mei 1998.

    Kira-kira 15 tahun kemudian, Masjid al-Khair melalui Program Menaiktaraf Masjid (MUP) selama 18 bulan dan siap pada 2015.

    Sumber: Tapak web Masjid al-Khair
  • Masjid Jamik Xi’an

    Masjid Jamik Xi’an – Gambar oleh Muslim2China

    Masjid Jamik Xi’an ialah salah satu masjid pramoden terbesar di China. Masjid ini dikenali juga sebagai Masjid Huajue Xiang, kerana lokasinya di 30 Huajue Lane.

    Masjid ini dikatakan mula dibina pada 742 namun bentuk semasanya sebahagian besarnya dibina pada 1384 ketika pemerintahan Maharaja Hongwu dalam dinasti Ming, seperti yang direkodkan oleh Rekod Perbandaran Xi’an.

    [Sumber]

  • Masjid Merah Jambu

    Masjid Nasir al-Mulk atau dikenali juga sebagai Masjid Merah Jambu terletak di Shiraz, Iran.

    Ia dibina semasa pemerintahan dinasti Qajar di Iran. Pembinaan bermula 1876.

    Masjid ini mempunyai kaca berwarna yang luas di muka bangunannya dan memaparkan unsur tradisional lain seperti reka bentuk Panj Kāse.

    Info: Wikipedia
  • Masjid Umawi

    Dibina antara 705 dan 715 oleh Khalifah Umayyah al-Walīd I. Bersebelahan dengan masjid adalah makam seorang pemimpin Islam terkenal, Salahuddin, yang menawan semula Baitulmaqdis daripada tentera Salib. [Sumber]

    Masjid yang terletak di Damsyik, Syria ini terkenal semenjak dahulu dan ia antara pusat keagamaan dan keilmuan yang menjadi tumpuan utama.

    Berhubung kait dengan Damsyik, ada satu hadis disebutkan dalam Huru-Hara Hari Kiamat Ibnu Katsir: Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (ertinya): “Sesungguhnya khemah besar kaum Muslimin pada hari pertempuran sengit ada di Ghuthah di sebelah kota yang bernama Dimasyq (Damsyik atau Inggerisnya Damascus), salah satu kota terbaik di Syam.”

  • Masjid Pattani

    Dibina pada 1954. Pembinaannya mengambil masa sembilan tahun sebelum dibuka pada 25 Mei 1963.

    Masjid yang tersergam indah ini dikatakan tampil dengan seni bina barat, berbentuk seperti Taj Mahal di India.

    Ia menjadi pusat aktiviti keagamaan umat Islam Thai di selatan.

    [Sumber]

You cannot copy content of this page